Salam Perkenalan

Tinta Anjung bermaksud segala tulisan didalam ruangan ini adalah berbentuk pandangan, perbahasan, ulasan sesuatu isu, pengalaman dan pengamatan penulis sendiri tanpa merujuk kepada rujukan ilmiah yang berat-berat iaitu dalam bahasa akademiknya ianya lebih banyak bersifat fakta-fakta sekunder berbanding primer. Begitulah perihalnya seperti sebuah rumah yang mempunyai anjung yang dapat memberikan gambaran keadaan sebenar isi kandungan didalam rumah. Segala yang benar dan baik itu adalah datangnya ilham dari Allah SWT dan segala yang buruk itu adalah dari kelemahan diri saya sendiri. Terimakasih kerana membaca. Wallahu'alam



Monday, May 10, 2010

Menongkah Arus Kehidupan

Pada hari ini, sekiranya kita ingin jalan beriringan dengan kebenaran, kita pasti akan menongkah arus kehidupan yang mengila. Kalau tak kuat berpegang dengan kebenaran , kita sama akan turut mengikut arus kehidupan itu dan akan menjadi sebahagian dari arus yang bersifat ganas dan tamak. Namun, kekadang arus itu nampaknya tenang tetapi penuh tipu muslihat dengan putaran arus pusar yang mengganas didasar. Maka sekiranya kita mahu bersama dengan kebenaran kita pasti akan bertembung dan menongkah arus yang ganas itu. Rasulullah SAW pernah bersabda “Umat-ku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, kesemuanya di dalam neraka melainkan satu.” Ditanya kepada baginda siapakah yang satu itu wahai rasulullah S.A.W.: “Baginda menjawab: “Ia adalah al-Jamaah”. Berpandukan hadis ini, dapatlah kita fahami bahawa majoriti umat islam adalah golongan yang sesat dan menyeleweng manakala mereka yang benar adalah sangat kecil jumlahnya. Golongan yang majoriti inilah yang diibaratkan arus kehidupan yang deras lagi ganas tadi. Cuma sekumpulan golongan kecil yang Rasulullah nyatakan sebagai al-Jammah saja yang benar dan berjaya. Maka persiaplah diri dengan sifat-sifat-sabar, berani, berusaha dan tawakkal kepada Allah sekiranya kita mahu tergolong didalam kumpulan yang kecil ini..

Wednesday, May 5, 2010

Sistem Nilai Masyarakat Malaysia - Satu Tuntutan Perubahan

Kita seringkali dihidangkankan dengan kisah-kisah sensasi yang mengejutkan lagi meresahkan urat tengkok lalu membawa kepada perbincangan dan perbahasan hangat ala parlimen di kedai kopi, pasar, pejabat, hatta di kampus universiti. Dari isu-isu ekonomi, politik, pendidikan, sukan, agama dan sebagainya semuanya mendapat perhatian dimata masyarakat. Pelbagai kupasan dan pandangan yang diutarakan oleh pelbagai pihak samada pihak kerajaan, pertubuhan-pertubuhan, organisasi-organisasi, badan-badan NGO maupun individu. Masing-masing memberi hujah dan saranan. Dari sudut sensitivitinya bolehlah dipuji kerana masyarakat kita sekurang-kurangnya peka dengan apa yang berlaku, namun dari persepektif mana ianya dinilai adalah agak tipikal dan seteriotaip. Realitinya, kita seringkali memandang dan menilai sesuatu kejadian itu dari sudut ruang lingkup isu itu sendiri.

Berkenaan isu pembuangan bayi yang sudah lali kita mendengarnya, semuanya mengutuk dan membenci perbuatan tersebut. Lantas ada yang mencadangkan penubuhan rumah perlindungan bagi ibu-ibu yang termengandung itu dan rumah kebajikan khas bagi menempatkan bayi-bayi malang itu. Antara sedar ataupun tidak sebenarnya kita menyediakan sebuah tempat penginapan khas yang seolah-olahnya menggalakkan lagi mereka melakukan kerja maksiat dan kelakuan jenayah. Ianya sama sekali tidak salah tetapi persoalan dan langkah-langkah pencegahan yang patut diutamakan seperti apakah punca gejala ini boleh berlaku? Salah satu puncanya ialah nilai sistem sosial kita yang banyak mengikut acuan penilaian masyarakat barat. Sistem sosial barat yang menghalalkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan itulah yang dianggap terbaik, lalu kitapun mengguna pakai dalam semua aspek kehidupan kita. Hiburan yang menggalakkan pergaulan bebas melata dimana-mana tempat seperti Konsert Jom Heboh, pesta muda-mudi dan banyak lagi. Itu belum lagi rancangan TV yang leka seperti Akedemi Fantasia, Mentor, One in Million dan yang berunsur seks dan jenayah ditayangkan seolah-olah tiada daya sekatan lagi. Maka layakkah kita merasa hairan dan sedih dengan kejadian pembuangan bayi ini?? Kisah yang serupa juga berlaku sedikit masa dahulu iaitu apabila penyakit HIV yang semakin meningkat, lalu timbullah cadangan pemberian kondom secara F.O.C kepada orang ramai yang secara tidak langsung menggalakan lagi orang ramai melakukan maksiat. Beginilah cara kita mencari jalan penyelesaian dan menilai sesuatu isu sejak sekian lamanya.

Dalam sistem pendidikan pula ianya lagi parah dengan kita seringkali melaung-laungkan slogan sistem pendidikan tidak berteraskan peperiksaan (non-exam oriented). Sekali pandang tentunya kita menyangka pelajar yang aktif didalam sukan, perbahasan, pemimpin persatuan dan sebagainya akan diberi markah bonus yang setaraf dengan markah didalam peperiksaan dan peluang untuk ke IPTA terbentang luas bagi mereka yang cemerlang dalam kemahiran insaniah (soft skills) ini. Namun hakikatnya fokus kita selalu terarah dan lebih besar kepada kecemerlangan akademik yang mana sistem penilaian adalah peperiksaan semata. Keadaan in selari dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi dalam satu kenyataannya berkata prinsip meritokrasi yang menggunapakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum dikekalkan untuk pengambilan kemasukan institut pengajian tinggi awam (IPTA)kerana ianya diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia memandangkan penganjuran, pemantauan, penilaian dan penglibatan pelajar adalah di bawah kawalan kementerian berkaitan.Maka kecemerlangan seseorang pelajar itu banyak dinilai dari kecemerlangan dalam peperiksaan. Maka tidak hairanlah ada juga kita dengar ada pelajar yang kecewa didalam peperiksaan lalu membunuh diri, kerana apa?, ianya kerana mereka menyangka hidup mereka sudah tidak ada harapan lagi, tiada masa hadapan.

Dalam kes seorang remaja lelaki yang ditembak mati di Shah Alam baru-baru ini. Pelbagai pihak yang menunding jari mencari siapa yang patut bertanggjawab. Ada yang menyalahkan ibubapanya kerana membenarkan anak keluar waktu malam hingga ke pagi dengan membawa kenderaan tanpa lesen dan ada juga yang menyalahkan pihak polis yang semberono melepaskan tembakan. Namun sebenarnya keadaan ‘kondusif’ persekitaran yang membenarkan operasi restoran-restoran, pub-pub dan kelab-kelab hiburan sehingga lewat pagi ini menggalakkan anak-anak kita untuk berkeliaran di waktu malam kerana mempunyai tempat untuk melepak. Sepatutnya pihak berkuasa wajib menghadkan waktu operasi tempat-tempat ini jangan sehingga ke larut malam. Ajal dan maut ditangan Tuhan tetapi jika kita beringat dan peka sudah tentu kejadian ini tidak akan berlaku.

Dalam konteks kepimpinan pula, masyarakat kita seringkali menilai kebolehan seseorang pemimpin itu diatas kebolehnnya untuk berhujah dan berpidato bukan kerana keperibadian mulia dan sifat-sifat kepimpinan asas seperti benar, adil dan amanah. Akibatnya apabila seseorang pemimpin itu dipilih hanya kerana kepandaiannya bercakap , akibatnya sesebuah jabatan, organisasi malah negara akan menuju kehancuran. Cuba kita perhatikan keadaan pilihanraya yang berlaku di negara kita, seseorang calon itu boleh terpilih sebagai wakil rakyat hanya berdasarkan kepada kemajuan kempennya selama beberapa hari dan bukannya diatas sifat-sifat kepimpinan dan akhlaknya selama ini.

Maka amat bertepatanlah dengan Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda.

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah”". Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”.
(H.R. Ibnu Majah)


Beginilah mentaliti masyarakat kita yang seringkali menilai sesuatu kejadian dari ruang lingkup yang sempit....perlukah kita berubah??

Tinta Anjung memohon diri...
22 Jamadil Awal 1431
06 Mei 2010